penubuhan
Pengawalan ke atas penggunaan benda-benda radioaktif telah dijalankan sejak tahun 1968 lagi apabila Parlimen meluluskan Akta Benda-Benda Radioaktif 1968. Memandangkan perkembangan aktiviti-aktiviti tenaga atom di Malaysia amatlah pesat dan memerlukan pengawalan yang lebih berkesan, maka pada April 1984 Parlimen telah meluluskan Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta 304).
Selaras dengan kehendak Seksyen 3, Akta 304, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 1 Februari 1985. AELB bertindak sebagai sebuah badan penguatkuasa ke atas Akta 304 dan perundangan-perundangan subsidiari yang dibuat di bawah akta tersebut. Mulai 27 Oktober 1990 AELB telah diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi.
Melalui surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam JPA.(S).700-2/1/1 Jld 3 (30) bertarikh 9 Jun 2022, AELB telah dijenamakan sebagai Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia). Atom Malaysia dianggotai oleh lima orang ahli yang dilantik oleh menteri. Ahli-ahli ini kesemuanya berkelayakan dalam bidang sains dan teknikal berkaitan tenaga atom.