Home Tindakan Perundangan

Tindakan Perundangan

MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN LUCUT HAK DI BAWAH AKTA 593

Pada 30 Julai 2021, AELB telah berjaya mendapatkan perintah lucuthak dari mahkamah berhubung satu barang kes yang tidak dituntut selama 20 tahun. Barang kes berkenaan ialah sebuah motokar yang telah disita berhubung dengan suatu kesalahan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Motokar tersebut telah disita oleh AELB pada 19 Julai 2001 kerana ia digunakan untuk mengangkut lapan (8) guni sanga timah tanpa suatu lesen yang sah di bawah Akta 304. Siasatan bagi kes lucuthak ini dilakukan oleh Pegawai Penyiasat AELB, En. Amirul Shazmie Jamaluddin.

Sebutan kes bagi permohonan perintah lucuthak motokar ini telah dilakukan oleh Pegawai Pendakwa AELB, Pn. Aliyah Mohd. Saad di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Melalui Perintah yang dibuat di bawah Seksyen 407, Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), mahkamah memerintahkan barang kes (motokar) tersebut dilucuthak kepada kerajaan Malaysia dan dilupuskan dengan kaedah yang difikirkan wajar.


MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN LUCUT HAK DI BAWAH AKTA 593

AELB telah menerima aduan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mengenai seorang individu yang disyaki memiliki bahan radioaktif dalam bentuk bar logam. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(1) (b) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) kerana memiliki bar logam yang mengandungi bahan radioaktif tanpa suatu lesen yang sah. Hasil siasatan mendapati bahawa individu tersebut merupakan pengusaha barangan kitar semula termasuk besi lusuh dan tidak mempunyai pengetahuan bahawa salah satu barangan yang dimiliki adalah bahan yang mengandungi bahan radioaktif yang berupaya mengeluarkan sinaran mengion dan dikawal di bawah Akta 304.

Individu tersebut tidak mempunyai lesen yang sah di bawah Akta 304 bagi pemilikan barang kes tersebut yang merupakan bahan radioaktif dan tidak mempunyai tujuan penggunaan yang berasas bagi membolehkan ianya dilesenkan di bawah Akta 304. Sehubungan dengan itu, satu permohonan lucuthak dikemukakan kepada Mahkamah untuk melucuthak barang kes tersebut kepada Kerajaan Malaysia.

Pelucutan hak kepada Kerajaan Malaysia perlu dilakukan untuk mencegah barang kes tersebut daripada terjatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab dan bagi mengelakkan dedahan sinaran yang dikeluarkan oleh bahan radioaktif itu kepada orang awam.

Sebutan permohonan lucuthak barang kes dari individu berkenaan iaitu satu bar logam yang mengandungi Uranium Oksida seberat kira-kira 2.8 kilogram telah dilakukan oleh Pegawai Pendakwa AELB, Pn. Aliyah Mohd. Saad di Mahkamah Majistret Jenayah Ipoh, Perak pada 01 September 2021. Melalui Perintah yang dibuat di bawah Seksyen 407, Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), Mahkamah memerintahkan barang kes yang merupakan bar logam tersebut dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia dan dilupuskan di kemudahan pelupusan sisa radioaktif yang diiktiraf di Malaysia.


MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN PENDAKWAAN DI BAWAH AKTA 304

Pada 13 Julai 2021, sebuah syarikat telah didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) kerana memiliki bahan radioaktif melebihi jumlah yang dilesenkan. Pendakwaan telah dijalankan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa AELB iaitu Pn. Aliyah Md. Saad. Syarikat telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan dikenakan denda RM 10,000. Barang kes dilepaskan selepas tindakan pembetulan diambil.


MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN PENDAKWAAN DI BAWAH AKTA 304

Pada 17 Mac 2021, sebuah syarikat telah didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) kerana mengimport sebuah radas penyinaran tanpa memiliki Lesen Kelas E (import) yang sah di bawah Akta 304. Pendakwaan telah dijalankan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa AELB iaitu Pn. Aliyah Md. Saad. Syarikat telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan dikenakan denda RM 10,000. Barang kes dilepaskan selepas tindakan pembetulan diambil.


MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN GANTUNG LESEN DAN PENDAKWAAN DI BAWAH AKTA 304

Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti radiografi industri telah dikenakan tindakan gantung lesen oleh Lembaga selama 58 hari mulai 23 Februari 2020 sehingga tamat tempoh sah lesen. Tindakan diambil selaras dengan peruntukkan di bawah Seksyen 22(1)(d), Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) bagi maksud kepentingan awam.

Selanjutnya pada 2 September 2020, syarikat tersebut telah didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Peraturan 70, Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010 kerana gagal mengambil semua langkah untuk memastikan keselamatan dan perlindungan terhadap bahan radioaktif yang ada dalam milikannya hingga menyebabkan bahan radioaktif itu hilang. Pendakwaan telah dijalankan di Mahkamah Sesyen 5, Alor Setar. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa AELB iaitu En. Faeizal Ali. Syarikat telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan dikenakan denda RM 23,000.00 atau 6 bulan penjara (jika gagal membayar denda).

Kesalahan di bawah Peraturan 70, Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010 yang melibatkan kehilangan bahan radioaktif ini merupakan kesalahan kedua syarikat, selepas kesalahan pertama yang dilakukan pada tahun 2011. Oleh kerana syarikat didapati tidak kompeten untuk berurusan dengan bahan radioaktif, barang kes (jika ditemui) dan lain-lain bahan radioaktif yang dimiliki oleh syarikat diarahkan untuk dilupuskan dengan kaedah yang ditetapkan oleh AELB.

Lembaga memandang serius kepentingan pematuhan pemegang lesen terhadap peruntukkan yang ditetapkan di bawah Akta 304 dan perundangan subsidiari yang dibuat di bawahnya bagi memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan dipatuhi. Langkah ini diambil bagi menjamin keselamatan orang awam, harta benda dan alam sekitar, dan pada masa yang sama memfasilitasi aktiviti ekonomi secara perundangan bagi menyokong kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi negara.

Info: Radiografi industri merupakan aktiviti yang menggunakan bahan radioaktif dalam tujuan ujian tanpa musnah dan adalah salah satu aktiviti industri yang dikawal secara perlesenan di bawah Akta 304.


MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN PENDAKWAAN DI BAWAH AKTA 304


Seorang orang awam telah dikenakan tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen (Jenayah) Butterworth pada 22 April 2019 kerana memiliki sejumlah bahan radioaktif semulajadi (Naturally Occurring Radioactive Materials, NORM) tanpa suatu lesen yang sah di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta 304. Tertuduh mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM 20,000 atau 6 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Perlanggaran Akta 304 ini mula dikesan di pintu masuk utama negara apabila pesalah membawa masuk bahan radioaktif ini tanpa lesen yang sah di bawah Akta 304 dengan hasrat untuk digunakan dalam produk konsumer di Malaysia. Hasil pengesanan ini telah membawa kepada geledahan di premis syarikat yang sedang memproses produk konsumer tersebut dengan mencampurkan bahan radioaktif ini.

Tindakan pengesanan ini adalah hasil kerjasama dalam aktiviti pengesanan sekuriti nuklear (nuclear security detection) bersama pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) melalui peranan Pusat Pengurusan Tindakbalas Nuklear Kebangsaan (PTNK), dan Makmal Pengesanan Sinaran, Nuclear Security Support Centre (NSSC) Malaysia di AELB.

Info: Malaysia melaksanakan kerjasama strategik bersama pihak JKDM melalui pembangunan prosedur dan penggunaan peralatan pengesanan sinaran seperti Portal Pengesanan Sinaran (Radiation Portal Monitor, RPM) yang dipasang di pintu masuk utama negara bagi menghalang kemasukkan haram bahan radioaktif dan nuklear ke Malaysia. Kerjasama ini turut disokong dari segi bantuan peralatan dan pembangunan kapasiti oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan US Nuclear Smuggling Detection and Deterrence (US NSDD).



MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN GANTUNG LESEN DI BAWAH AKTA 304


Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti radiografi industri telah dikenakan tindakan gantung lesen selama 45 hari mulai 26 April 2019 oleh Lembaga kerana dua kesalahan melanggar Syarat Lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Dua kesalahan itu adalah membiarkan seorang orang awam menjalankan kerja radiografi industri dan menstor peralatan sinaran di tempat penstoran yang tidak diluluskan untuk syarikatnya. Tindakan dikenakan di bawah Seksyen 22(1) Akta 304.

Lembaga memandang serius kepentingan pematuhan kepada Syarat Lesen yang dikeluarkan bagi memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan dipatuhi selaras dengan ketetapan di bawah Akta 304. Langkah ini diambil bagi menjamin keselamatan orang awam dan alam sekitar, dan pada masa yang sama memfasilitasi secara perundangan kepada aktiviti ekonomi yang menyokong kesejahteraan serta pembangunan ekonomi negara.

Info: Radiografi industri merupakan aktiviti yang menggunakan bahan radioaktif dalam tujuan ujian tanpa musnah dan adalah salah satu aktiviti industri yang dikawal secara perlesenan di bawah Akta 304.