Home Profil Korporat

Profil Korporat

Penubuhan

Pengawalan ke atas penggunaan benda-benda radioaktif telah dijalankan sejak tahun 1968 lagi apabila Parlimen meluluskan Akta Benda-Banda Radioaktif 1968. Memandangkan perkembangan aktiviti-aktiviti tenaga atom di Malaysia amatlah pesat dan memerlukan pengawalan yang lebih berkesan. maka pada April 1984 Parlimen telah meluluskan Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta 304).

Selaras dengan kehendak Seksyen 3, Akta 304, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 1 Februari 1985. AELB bertindak sebagai sebuah badan penguatkuasa ke atas Akta 304 dan perundangan-perundangan subsidiari yang di buat di bawah akta tersebut. Mulai 27 Oktober 1990 AELB telah diletakan di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi. AELB dianggotai oleh lima orang ahli yang dilantik oleh menteri. Ahli-ahli ini kesemuanya berkelayakan dalam bidang sains dan teknikal berkaitan tenaga atom.


Objektif


Untuk memastikan penggunaan tenaga atom adalah selamat, terjamin dan dikawalguna demi melindungi masyarakat, pekerja dan alam sekitar.

Misi


Mengawal selia penggunaan tenaga atom secara efektif berlandaskan standard dan amalan terbaik antarabangsa demi kemakmuran rakyat dan negara.

Visi


Badan kawal selia yang diiktiraf dan diyakini di peringkat antarabangsa dalam pengawalseliaan aktiviti tenaga atom.

Dasar Kualiti


Kami komited:
Untuk memberikan perkhidmatan permohonan lesen dan penguatkuasaan Akta 304 yang berkualiti bagi memenuhi kehendak dan kepuasan pelanggan; dan
Mematuhi keperluan Sistem Kualiti melalui penambahbaikan berterusan tanpa mengabaikan peruntukkan Akta 304″

Objektif Kualiti


Bagi mencapai Dasar Kualiti, AELB akan :

(1) Memproses permohonan lesen tidak melebihi tempoh yang dinyatakan dalam Piagam Pelanggan.

(2) Melakukan pemeriksaan di premis pemegang lesen sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sah lesen.

(3) Memberi maklum balas terhadap aduan pelanggan dalam masa tiga (3) hari bekerja.

(4) Merancang dan melaksana latihan sekurang-kurangnya tujuh hari setahun atau dua kali kursus setahun bagi setiap kakitangan.

Pihak pengurusan juga akan menentukan bahawa dasar dan objektif kualiti ini difahami oleh setiap kakitangan AELB.

Fungsi


Fungsi-fungsi AELB seperti termaktub di dalam Akta 304 adalah seperti berikut:

(1) Memberi nasihat kepada Menteri dan Kerajaan Malaysia atas perkara-perkara berhubungan dengan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan perkembangan perkembangan mengenainya terutamanya mengenai implikasi-implikasi perkembangan itu bagi Malaysia;

(2) Mengawal dan mengawasi aktiviti penggunaan tenaga atom dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya;

(3) Menubuhkan, menyenggara dan mengembangkan kerjasama saintifik dengan mana-mana badan, institusi atau organisasi lain berhubungan dengan perkara-perkara nuklear atau tenaga atom sebagaimana difikirkan sesuai oleh Lembaga bagi maksud-maksud Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984;

(4) Di mana diarahkan sedemikian oleh Kerajaan Malaysia, melaksanakan atau memperuntukkan bagi pelaksanaan obligasi-obligasi yang timbul daripada perjanjian, konvensyen atau triti berhubungan dengan perkara-perkara nuklear atau tenaga atom yang mana Malaysia menjadi satu pihak jika perjanjian, konvensyen atau triti itu ada hubungan dengan maksud-maksud Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984; dan

(5) Melakukan perkara-perkara lain yang timbul atau berbangkit daripada fungsi-fungsi Lembaga ini di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 yang tidak berlawanan dengan maksudmaksud Akta itu, sama ada diarahkan atau tidak diarahkan oleh Menteri.