|
LEMBAGA PERLESENAN TENAGA
ATOM |
|
13 Disember 2000
NOTIS PEMBERITAHUAN AELB
BIL. 3/2000
PEPERIKSAAN PEGAWAI PERLINDUNGAN SINARAN
TUJUAN
1. Tujuan notis pemberitahuan ini adalah untuk memaklumkan kepada semua pemegang lesen serta bakal pemegang lesen berhubung dengan peperiksaan Pegawai Perlindungan Sinaran.
LATARBELAKANG
2. Peraturan-Peraturan Perlindungan Sinaran (Standard Keselamatan Asas) 1988 mengkehendaki pemegang lesen mengambil kerja seorang Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS). PPS ini hendaklah terdiri dari orang yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan latihan untuk memastikan bahawa aktiviti-aktiviti yang hendak dilesen itu dijalankan tanpa membahayakan nyawa, harta benda dan alam sekitar.
3. Sebelum seseorang itu boleh menjadi PPS mereka perlulah dilantik oleh pemegang lesen dan mendapat pengiktirafan oleh AELB terlebih dahulu. PPS perlu menghadiri apa-apa kursus yang berkaitan perlindungan sinaran dan dikehendaki lulus di dalam peperiksaan yang dikendalikan oleh AELB.
SKIM PERSIJILAN KEBANGSAAN PPS
4. Mulai tahun 2001 peperiksaan PPS akan dikelolakan oleh sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Kebangsaan Persijilan Pegawai Perlindungan Sinaran (JKPPPS) di bawah pengawasan AELB. Peperiksaan PPS akan merangkumi teori dan praktikal. Semua peperiksaan akan diadakan di pusat peperiksaan yang telah diiktiraf oleh AELB. Buat ketika ini hanya terdapat sebuah sahaja pusat peperiksaan yang telah mendapat pengiktirafan iaitu Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT).
PERMOHONAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN
5. Permohonan untuk menduduki peperiksaan hendaklah dibuat dengan mengisi Borang JKPPPS/1 (lihat lampiran) yang boleh diperolehi di AELB ataupun pusat peperiksaan. Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada AELB ataupun pusat peperiksaan berserta dengan yuran peperiksaan sebanyak RM 200.00 (RM 150.00 perlu dibayar atas nama Ketua Pengarah AELB dan RM 50.00 perlu dibayar atas nama Ketua Pengarah pusat peperiksaan).
ARAHAN
6. Dengan ini, semua pemegang lesen hendaklah mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan PPS mereka yang akan tamat tempoh pengiktirafannya menduduki semula peperiksaan PPS di pusat peperiksaan yang telah ditentukan oleh AELB (Nota tambahan: PPS yang akan tamat pengiktirafannya boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan pengiktirafan semula tanpa menduduki peperiksaan semula jika memenuhi syarat yang ditetapkan). Berikut adalah tarikh peperiksaan yang akan diadakan di MINT untuk tahun 2001 sebagai makluman: 2 Mac, 19 April, 28 Jun, 19 Julai, 23 Ogos, 27 September dan 8 November. Oleh itu semua pemegang lesen mestilah merancang bagi memastikan PPS mereka menduduki peperiksaan pada tarikh yang telah dinyatakan di atas. Kegagalan pemegang lesen untuk berbuat demikian akan menyebabkan syarikat tuan tidak mempunyai PPS yang diiktiraf.
7. Bagi bakal-bakal PPS mereka perlu menghadiri kursus terlebih dahulu sebelum mengambil peperiksaan.
8. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila rujuk dokumen LEM/TEK/44 (BAHAGIAN A) yang bertajuk 'Standard Pengiktirafan Pegawai Perlindungan Sinaran' yang telah dikeluarkan oleh AELB.
Nota tambahan:
PENUTUP
9. Jika terdapat sebarang pertanyaan berhubung dengan notis pemberitahuan ini, sila berhubung melalui alamat di bawah :
Pengarah
Bahagian Dasar, Kod & Standard
Lembaga Perlesenan Tenaga Atom
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Batu 24, Jalan Dengkil, 43800
Mukim Dengkil, Daerah Sepang,Selangor, MALAYSIA
Tel: 6-03-89267699
Faks: 6-03-89223685
e-mail: pbs@aelb.gov.my